Memahami Sistem Rangkaian Komputer - Bhg 1

Rangkaian diwujudkan apabila lebih daripada satu peranti/peralatan dihubungkan antara satu sama lain bagi tujuan komunikasi data melalui saluran komunikasi. Rangkaian komputer dibina dengan menghubungkan dua atau lebih komputer atau peranti bagi tujuan komunikasi data antara satu sama lain menerusi saluran komunikasi.

Rangkaian komputer boleh ditakrifkan sebagai sekumpulan komputer, pencetak, pelayan dan lain-lain peranti yang dihubungkan bersama dengan saluran komunikasi (kabel atau tanpa kabel). Setiap peranti yang disambungkan ke rangkaian itu dikenali sebagai nod. Rangkaian-rangkaian boleh terdiri daripada berpuluh-puluh, beratus, beribu atau berjuta-juta nod.

Telekomunikasi adalah komunikasi melalui satu jarak dengan menggunakan teknologi untuk mengatasi jarak itu.

Komunikasi data pula adalah penghantaran atau penerimaan maklumat menerusi saluran-saluran komunikasi. Saluran komunikasi terdiri daripada apa-apa medium transmisi elektronik sama ada kabel / wayar tembaga, kabel fiber optik, gelombang radio, infra merah dan sebagainya.

Rangkaian boleh menghubungkan pengguna-pengguna di bawah satu bumbung atau dari berlainan tempat. Sudah tentu rangkaian yang terbesar adalah Internet.

Kepentingan Rangkaian

Kenapa rangkaian diwujudkan, apakah kepentingannya ?
  • Perkongsian data dan maklumat
  • Perkongsian peranti-peranti komputer
  • Perkongsian perisian
  • Perkongsian talian Internet

Perkongsian-perkongsian ini dikenali sebagai perkongsian sumber rangkaian. Ia adalah matlamat utama kenapa rangkaian diwujudkan. Perkongsian sumber dalam rangkaian boleh dicapai melalui servis.
Perkongsian talian Internet boleh dilakukan menerusi rangkaian tempatan yang dikenali sebagai LAN (local area network).
Sumber2 seperti pencetak, faks, storan dan juga scanner juga boleh dikongsi melalui sistem rangkaian.

Senibina Rangkaian

Terdapat tiga jenis senibina rangkaian yang sering digunakan, iaitu bagaimana sesebuah rangkaian diuruskan.

Peer to Peer (P2P)
Semua komputer dalam rangkaian mempunyai status yang sama, iaitu setiap komputer boleh menyimpan data dan sumbernya sendiri. Semua komputer dibenarkan berkongsi data dan sumber mengikut keperluan. Tiada komputer pusat yang mengawalnya. Sesuai untuk rangkaian LAN yang kecil sehingga 12 komputer.

Contoh : Network Neighborhood atau Network Place. Dalam rajah di atas, Ct boleh meminta Ko memfakskan surat dengan menyimpan surat itu di notebook Ko. Manakala Yo meminta Rm mengimbas gambar dan menyimpan di komputer Rm dan kemudian Yo akan mencapai gambar itu dari komputer dia.

Rangkaian Klien/Pelayan
Dalam rangkaian ini (client/server) pula terdapat satu atau lebih pelayan (terdiri daripada komputer yang lebih berkuasa) yang mengawal sumber rangkaian. Pelayan adalah komputer pusat yang melayan permintaan klien (komputer lain) untuk mendapatkan data dan maklumat. Klien pula adalah komputer yang memohon servis atau mencapai maklumat yang disimpan di pelayan. Rangkaian jenis ini sangat efisien untuk bilangan komputer rangkaian melebihi 10 unit.


Contoh pelayan pencetak. Kini Yo, Rm, Ko & Ct boleh terus mencetak dokumen atau faks terus daripada komputer mereka. Contoh lain seperti pelayan web, e-mel, pangkalan data SQL, dan sebagainya.

Berasaskan pelayan
Rangkaian berasaskan pelayan (server based) dikawal sepenuhnya oleh satu pelayan atau sekumpulan pelayan (berpusat). Pelayan adalah komputer berkuasa tinggi, mempunyai memori dan stroran yang besar dan direka bentuk untuk berfungsi 24jam sehari dalam seminggu sepanjang tahun. Pelayan hanya boleh dikendalikan oleh penyelia rangkaian.

Komputer klien perlu di log on ke pelayan menerusi rangkaian, akaun pengguna dan kata laluan digunakan. Maklumat akaun pengguna di simpan di direktori pelayan. Tetapan keselamatan dan capaian sumber-sumber rangkaian dikawal secara berpusat. Data dan maklumat disimpan dalam satu lokasi sahaja. Oleh itu sistem berasaskan pelayan ini mempunyai tahap keselamatan tertinggi berbanding jenis rangkaian sebelumnya. Kaedah rangkaian ini perlu dipraktikkan di pejabat atau organisasi dengan bilangan staf yang agak ramai, lebih daripada 10 nod.


Contoh, dalam rangkaian berasaskan domain Windows Server pengguna perlu log on sebelum dapat menggunakan komputernya (klien). Dia hanya boleh mencapai sebarang sumber rangkaian yang dibenarkan kepadanya tanpa perlu log on berulang kali semasa mencapai sumber itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Resolusi dan saiz gambar digital

Speedtest atau Benchmark Talian Internet ...